fb fb fb fb fb

UPM kembalikan tradisi berbuka dalam talam, tarik minat anak muda

Juadah berbuka puasa di Masjid UPM ini disediakan secara gotong- royong bersama Pusat Islam dan sukarelawan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM.

SERDANG, 7 Mac – Tradisi berbuka puasa secara makan dalam talam di Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi tarikan utama kepada para jemaah sepanjang Ramadan ini.

Pusat Islam UPM menyediakan juadah berbuka puasa kepada lebih 800 orang jemaah setiap hari Rabu, dengan makanan dimasak secara gotong-royong bersama sukarelawan dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM.

Pegawai Psikologi HSAAS UPM, Rafidah Sadarudin, memaklumkan bahawa seramai 16 orang kakitangan dari hospital tersebut terlibat dalam kerja-kerja penyediaan makanan sejak pukul 12 tengah hari.

"Alhamdulillah, sukarelawan kami terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Usaha ini bukan sekadar menyediakan juadah berbuka, tetapi juga melambangkan keutuhan perpaduan dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum," katanya.

Seorang pengunjung, Noor Dina Mohd Khairudin, 34, berkongsi keterujaan apabila berpeluang buat kali pertama merasai berbuka puasa dalam talam bersama keluarganya di masjid UPM.

"Di rumah, kami sekeluarga makan menggunakan pinggan di atas meja. Tetapi di sini, kami dapat merasai kembali tradisi lama yang semakin jarang diamalkan.

"Ia bukan sahaja menghidupkan semula budaya ini, tetapi juga merapatkan ukhuwah sesama umat Islam," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian UPM, Khairul Azmi Za’ba, 38, menyatakan bahawa pengalaman berbuka puasa di masjid bersama keluarga sangat bermakna buatnya.

"Anak-anak saya sangat teruja berbuka dalam talam kerana mereka dapat berkenalan dengan ramai kawan baru. Lebih penting, selepas berbuka, kami dapat menunaikan solat tarawih bersama," katanya.

Tradisi berbuka dalam talam di Masjid UPM bukan sekadar menawarkan hidangan berbuka, tetapi turut menjadi platform merapatkan silaturahim dalam kalangan jemaah serta menyemarakkan semangat kebersamaan di bulan Ramadan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD