fb fb fb fb fb

UPM hasilkan gel tenaga berasaskan kurma dan habbatus sauda

Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof (tengah) selaku ketua penyelidik bersama ahli kumpulan penyelidikan beliau dalam pembangunan formulasi gel tenaga berasaskan kurma, madu dan habbatus sauda/ Foto UPM

SERDANG, 13 Mei - Sekumpulan penyelidik UPM telah berjaya menghasilkan formulasi gel tenaga khusus untuk atlet sukan. 

Profesor Kejuruteraan Bahan Makanan dan Teknologi Serbuk, Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof  bersama pasukan penyelidikannya menggunakan kurma, madu dan ekstrak habbatus sauda menjadi produk tenaga yang sedia untuk dimakan (Ready to Eat) dan bahan-bahan umum dikenali sebagai sumber makanan yang tinggi khasiat.

Jelasnya, komponen utama bagi gel tenaga berkenaan ialah karbohidrat yang berfungsi sebagai sumber tenaga yang  mudah diserap badan. Selain untuk mudah dimakan semasa bersenam.

Menurut Prof. Ir. Dr. Yus Aniza, minuman tenaga dalam bentuk cecair akan membebankan pengguna dan perlu diambil dalam jumlah yang lebih banyak.

"Tenaga tambahan dalam bentuk gel boleh mengelakkan ketidakselesaan gastrik dan ia adalah alternatif yang lebih praktikal.

 “Perkembangan ini amat penting dan sesuai untuk kehidupan atlet dan ahli sukan yang sibuk dengan jadual mereka yang padat dengan latihan serta perjalanan untuk perlawanan dan permainan,” ujarnya.

Prototaip gel tenaga berkenaan telah diuji keberkesanannya menerusi analisis indeks glisemik (GI) iaitu melalui ujian darah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM hasil kolaborasi bersama Prof. Madya Dr. Hazizi Abu Saad dan ahli kumpulan penyelidikannya.

“Pengukuran GI ke atas 30 responden yang sihat menunjukkan gel ini mempunyai tahap GI 50 sahaja berbanding dua lagi gel tenaga komersial yang dibandingkan iaitu masing-masing mempunyai nilai GI yang tinggi iaitu 84 dan 91,” kata  Prof. Ir. Dr. Yus Aniza.

Tambahnya, Gel dengan GI yang lebih rendah membebaskan tenaga secara beransur-ansur dapat mengekalkan tenaga dengan lebih berkesan.

Projek berkenaan telah mendapat penajaan geran melalui Anugerah Putera Faisal Fahad bagi Penyelidikan Sukan 2021 dengan kerjasama penyelidik dari Saudi Arabia,  Jepun, dan juga Mesir.

 

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD