fb fb fb fb fb

UPM harumkan nama Malaysia, 'bolot' tujuh anugerah INTARG 17 di Poland

Mahasiswa UPM membolot tujuh anugerah dan empat projek Inovasi dipertandingkan di Katowice International Congress Centre, Poland, baru-baru ini

POLAND, 28 Mei- Sebanyak empat projek inovasi yang dibangunkan oleh mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya merangkul anugerah di 17th International Invention and Innovation Show (INTARG 17) di sini, baru-baru ini.

Projek inovasi sosial bertajuk 'e-Rodong: A Mobile App Fostering Peer Support for Shared Wellbeing' oleh pelajar Doktor Falsafah (PhD), Mohd Ziyad Afiq Mohd Zaharim meraih tiga anugerah iaitu pingat platinum, pingat emas dan pingat perak.

Ziyad berkata, kejayaan mahasiswa UPM di persada antarabangsa membuktikan pemerkasaan akademik dan penyelidikan melalui penglibatan holistik pelajar serta pensyarah dalam mengaplikasikan ilmu yang dipelajari mereka.

Sementara itu, projek 'Pertanian Tanpa Cangkul' ciptaan pelajar Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Adibnur Faaezah Abd Razak berjaya memperoleh dua anugerah iaitu pingat emas dan pingat inovasi terbaik oleh The First Institute of Researchers and Inventors in Iran.

Dalam pada itu, projek pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perladangan, Fakulti Pertanian, Muhammad Ikram Marozan melalui inovasi 'Extending Cassava Shelf Life through Tapai Maromaro under Fermentation: A Sustainable Food Innovation for Malaysian Markets' meraih pingat perak.

Turut mendapat pingat perak adalah inovasi 'Securing Web Application: Detecting and Mitigating Second Order SQL Injection with Prepared Statements' oleh pelajar PhD Ts. Rohana Mydin.

INTARG 17 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Mei lalu di Katowice International Congress Centre dekat sini merupakan sebuah pertandingan reka cipta antarabangsa dan pameran inovasi yang mengetengahkan teknologi baharu, produk, perkhidmatan, serta solusi untuk industri, sosial, persekitaran, kesihatan, ubat-ubatan dan kehidupan harian.

SITI AISHAH MD ISA