fb fb fb fb fb

UNITEN tawar tajaan yuran pengajian kepada pelajar Palestin

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 25 Oktober- Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menawarkan tajaan yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian untuk semua pelajar baharu dari Palestin bagi sesi pendaftaran akademik 2023/2024.

Naib Canselor UNITEN, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman ketika mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan menyebut, "keseluruhan warga UNITEN sentiasa komited dan seiring dengan kerajaan bagi memastikan sokongan penyelesaian praktikal kepada isu konflik Palestin-Israel yang rumit ini.

"Kami percaya pemberian bantuan kepada pelajar Palestin dalam menggapai cita-cita mereka menerusi bidang pendidikan di Malaysia adalah kaedah terbaik ke arah penyelesaian bermanfaat untuk negara mereka satu masa nanti," katanya.

Tawaran itu meliputi kesemua program pengajian di seluruh kampus UNITEN.

"Penawaran pengecualian yuran pengajian kepada pelajar-pelajar yang berasal dari Palestin kemasukan baharu bagi tahun pengajian 2023/2024 ini adalah tanda keprihatinan dan solidariti UNITEN dalam isu kemanusiaan yang rumit ini," tambah kenyataan itu.

UNITEN turut komited untuk berkerjasama dengan agensi-agensi kemanusiaan dan organisasi berkaitan yang diiktiraf kerajaan dalam menyalurkan bantuan ke bumi Palestin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI