TUMPAT, 25 Oktober- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup 980,000 batang rokok putih serta menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun.
Pengarah Kastam Negeri Kelantan Tuan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rokok tersebut dirampas dalam pemeriksaan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Pekan Melor, Kota Bharu.
"Seorang lelaki warganegara tempatan berumur 40 tahun yang merupakan pemandu kenderaan terbabit turut ditahan dan direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut. Hasil pemeriksaan pasukan mendapati barangan yang dimuatkan adalah rokok putih yang dipercayai barang larangan import.
"Kuantiti rokok yang dirampas berjumlah 980,000 batang melibatkan nilai yang dianggarkan berjumlah RM107,800 dan jumlah cukai sebanyak RM658,580," katanya dalam sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor, di sini.
Suspek ditahan reman selama 14 hari bermula 19 Oktober hingga 1 November depan untuk siasatan lanjut.
Rokok tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran Thailand untuk diedarkan ke pasaran Lembah Klang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 124(1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalah boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967.
JKDM turut menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.