fb fb fb fb fb

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Pameran Rahsia Kebaya

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Pameran Rahsia Kebaya menyasarkan objektif melestarikan perpaduan menerusi pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap khazanah warisan.

Pameran yang dianjurkan Jabatan Muzium Malaysia itu dirasmikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, hari ini.

Busana kebaya yang pelbagai diketengahkan termasuk busana daripada Perbadanan Muzium Kelantan, Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Lembaga Muzium Kedah, Lembaga Muzium Perak, Arkib Negara, kebaya pramugari MAS Airlines, Couture Classic dan persendirian.

Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata pameran tersebut diadakan seiring untuk mengangkat martabat busana tradisional Malaysia, kebaya di mata dunia.

"Kementerian Perpaduan telah melancarkan inisiatif 'Ini Warisan Kita' dan kebaya ini adalah satu warisan yang kita harap mendapat sambutan di UNESCO sekali gus mengiktiraf busana kebaya ini sebagai warisan budaya Malaysia," kata Aaron kepada pemberita di ibu negara, hari ini.

Dalam majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli melawat ruang pameran busana yang menempatkan 60 jenis busana termasuk sepersalinan kebaya milik baginda kurniaan Raja Permaisuri Agong dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis.

Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan menyaksikan Kebaya terbesar di Malaysia yang pernah di bawa ke 'Program Kebaya Fest Road to Milan' bersaiz 8.5 kali ganda saiz 'M', menggunakan 341 meter kain.

April lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memaklumkan bahawa Malaysia bersama Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand telah menyerahkan pencalonan bersama bagi pakaian tradisional kebaya ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) bawah kategori Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM