fb fb fb fb fb

UnIPSAS diiktiraf sebagai pusat peperiksaan SPM

Profesor Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin

KUANTAN, 26 November - Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) hari ini mencatat sejarah apabila diiktiraf Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) persendirian pertama di negara ini yang beroperasi di luar premis rasmi KPM.
 
Bermula semalam, seramai 118 orang calon persendirian berusia antara 18 hingga 32 tahun antara calon berdaftar yang mengambil peperiksaan SPM di kampus UnipSAS, termasuk calon menduduki peperiksaan subjek teras serta keseluruhan mata pelajaran.
 
Naib Canselor (UnIPSAS), Profesor Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, berdasarkan kapasiti dan fasiliti yang dimilikinya, pihaknya mampu menampung sehingga 260 calon persendirian termasuk menawarkan asrama penginapan kepada calon di luar daerah Kuantan.

"Kita sebenarnya mempunyai dewan besar yang boleh memuatkan lebih 200 orang. Namun, apabila JPN menetapkan 200 calon, kita akur memandangkan mereka juga mengambil kira jarak.

"Selain itu, kita ada satu lagi dewan iaitu Dewan Sultan Ahmad Shah, yang terletak di hadapan Dewan Utama. Dewan tersebut boleh memuatkan 50 hingga 60 calon dan juga berhawa dingin. Jadi, tahun depan jika perlu, kita boleh menampung sehingga 260 calon untuk peperiksaan persendirian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan calon persendirian SPM tahun 2025 bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa di Dewan Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Kuantan, Pahang.
 
Pihaknya turut bercadang menawarkan kemudahan yang sama kepada calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelajar di seluruh daerah di negeri itu.
 
Sementara itu, Pengarah (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, kewujudan pusat peperiksaan lebih tersusun seperti di UnIPSAS membantu penyelarasan calon persendirian termasuk pelajar Maahad Tahfiz, pondok dan institusi pengajian agama lain yang sebelum ini perlu bergerak ke pelbagai lokasi berbeza.

"Tiga tahun lepas, pihak kami sudah bersedia. Cuma, terdapat proses pendaftaran pusat calon persendirian yang perlu diikuti. Alhamdulillah, tahun ini ia telah diluluskan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Bagi menjadi pusat persendirian, pihak JPN perlu meninjau dan menilai kemudahan serta persekitaran di lokasi tersebut. Bagi saya, ini penting kerana kawasan kita kadang-kadang terjejas banjir semasa musim peperiksaan. Dengan adanya pusat pendidikan yang sesuai, calon akan lebih mudah mengikuti peperiksaan," katanya lagi.
 
Tahun ini, seramai 1,726 calon persendirian SPM berdaftar mengambil peperiksaan SPM di 39 pusat peperiksaan seluruh Pahang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI