fb fb fb fb fb

Keadaan banjir di Selangor makin pulih, 68 penduduk masih berada di PPS

Keadaan selepas banjir di Hulu Langat

HULU LANGAT, 26 November - Situasi Banjir yang melanda negeri Selangor terutama di Hulu Langat semakin pulih, sebahagian penduduk terjejas mula pulang ke rumah dan membersihkan kediaman masing-masing.

Tinjauan RTM mendapati kebanyakan kediaman yang dimasuki air sejak Ahad sudah dibersihkan sejak semalam.

Ketua Kampung Sungai Serai Noor Azam Mohammad berkata, majoriti penduduk bertindak membersihkan kawasan kediaman sebaik sahaja keadaan banjir surut.

"Pada hari pertama, kebanyakan penduduk sudah keluar untuk membersihkan rumah masing-masing. Alhamdulillah, banyak kediaman telah siap dibersihkan," katanya ketika ditemui RTM.

Ketika ini, masih terdapat dua buahh PPS yang beroperasi di Hulu Langat, iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai dan Kompleks Penghulu Batu 10.

31 penduduk daripada enam buah keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai manakala 37 penduduk daripada 12 keluarga pula ditempatkan di Kompleks Penghulu Batu 10.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI