KOTA BHARU, 26 November - Banjir kilat dan air bertakung berulang saban tahun setiap kali hujan lebat menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk yang tinggal di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 2, Kampung Chicha, di sini.
Penduduk, Mohd Khairuddin Farani Abdul Rahman berkata, isu terbabit seperti tiada kesudahan di beberapa kawasan perumahan di kampung itu setiap kali hujan lebat.
Kejadian itu juga menyebabkan kerja harian tergendala dan menyukarkan penduduk untuk keluar bekerja malah ada juga kediaman penduduk dinaiki air dan turut mengakibatkan kerosakan harta benda menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian.
"Hujan lebat menyebabkan kawasan berhampiran belakang Sekolah Menengah Kubang Kerian Dua dinaiki air, sekali gus menjejaskan kira-kira 15 rumah.
"Setiap kali musim tengkujuh, kawasan ini dibelenggu air bertakung. Bila hujan lebat, kami jadi terkepung. Hendak keluar bekerja pun tak boleh, nak urus apa pun susah. Air bertakung paras dada dan beberapa rumah turut tenggelam," katanya.
Seorang lagi penduduk, Suhaimi Awang Man, berkata keadaan itu berlaku hampir setiap tahun, dengan air boleh mencecah kira-kira dua kaki di beberapa kawasan.
"Bila tiba musim tengkujuh, memang beginilah keadaannya. Hendak keluar pun sukar. Jadi setiap tahun kami kena bersedia awal, angkat barang-barang ke tempat tinggi kerana bimbang air naik," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sofian Mohamad berkata, kejadian banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu ekoran tiada sistem perparitan yang sempurna.
Apabila tiada sistem perparitan menyebabkan air tidak dapat keluar dan bertakung di kawasan rendah menyebabkan kediaman penduduk di situ di naiki air.
"Di sini tiada saliran besar, hanya longkang kecil di rumah masing-masing. Jadi air tiada tempat untuk mengalir. Bila hujan lebat, air akan terus bertakung. Setiap kali dengar hujan berlarutan dua atau tiga hari, kami jadi risau," katanya.
Penduduk berharap agar pihak berwajib dapat mengambil perhatian keluhan penduduk dan mengambil tindakan segera agar kejadian banjir kilat tidak lagi berlaku selepas ini.
Ddi kawasan tersebut terdapat kira-kira 15 buah rumah yang terjejas dan di kawasan perumahan lain turut mengalami kejadian sama.