fb fb fb fb fb

UNIMAS berperanan penting bantu atasi krisis bekalan makanan mentah

KUCHING, 28 Jun- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memainkan peranan penting untuk kerajaan Sarawak dalam menghasilkan kepakaran dalam bidang pertanian moden.

Menegaskan perkara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mempunyai tanah yang luas dan mampu menjadi pengeksport makanan dan bukannya pengimport makanan seperti yang berlaku ketika ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan langkah ini perlu dalam usaha kerajaan negeri mengatasi masalah krisis bekalan makanan mentah yang dihadapi oleh negara ketika ini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak tidak boleh merealisasikan hasrat itu secara bersendirian dan memerlukan UNIMAS untuk menterjemahkan komitmen itu dalam memacu kelestarian kepakaran dalam bidang tersebut.

Beliau menambah, kerajaan menetapkan dasar, namun untuk membawa perubahan konkrit perlulah datang daripada komitmen semua pihak untuk lebih berdaya tahan dan utuh.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari yang juga Pro Canselor UNIMAS berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Komemoratif UNIMAS di Kota Samarahan.

(Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg)

Pada majlis itu juga, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilantik sebagai Pro Canselor ke-5 UNIMAS yang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak.

Lantikan tersebut berkuatkuasa 24 Januari tahun ini sehingga 23 Januari 2025.

Media Baharu