KUALA LUMPUR, 1 Februari- Pelaksanaan Undi 18 bakal memberi transisi baharu kepada proses demokrasi negara.
Ia juga akan memberi ruang kepada lebih ramai golongan muda menyertai proses tersebut.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menyifatkan, Undi 18 sebagai langkah yang baik dan bijak dalam mengubah landskap politik negara.
"Penglibatan anak muda akan mencipta ruang diversiti serta diyakini mampu memberi idea serta melihat suatu isu dari perspektif yang berbeza," kataya selepas menjadi tetamu dalam rancangan Bicara Naratif di Angkasapuri.
Tambah beliau, SPR sedang berunding dengan Kementerian Pendidikan bagi menyediakan sistem pendidikan sesuai kepada para pelajar untuk menerapkan kefahaman politik yang sihat demi masa depan negara.
"Kita akan maneruskan usul untuk mendidik anak-anak muda ini, terutama mereka di peringkat sekolah dan universiti, baru-baru ini kita adakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk berikan pendidikan kepada semua mahasiswa sebab ada lebih kurang 35 cawangan di UiTM melibatkan kira-kira 185,400 mahasiswa," katanya.