JOHOR BAHRU, 22 Januari - UMNO pusat akan membantu jentera parti di Johor, sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diadakan tahun ini.
Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO akan berada di Johor, pada Selasa dan Rabu minggu
hadapan bagi memperincikan persiapan awal parti itu.
"Jika PRU DUN Johor berlaku, maka UMNO Pusat akan membantu dari pelbagai sudut. Isu teknikal PRU DUN Johor, termasuk semua prosedurnya kita serahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad, yang juga Menteri Besar untuk menyelesaikannya dulu."
"Di peringkat pusat, kita bersedia hadapi apa juga kemungkinan berhadapan pilihan raya negeri dalam tempoh terdekat," kata beliau selepas menyertai Mesyuarat Khas UMNO Johor di sini.
Beliau turut memaklumkan terdapat 700,000 pengundi baharu di Johor tahun ini.
Dalam pada itu, ditanya sama ada UMNO akan bekerjasama dengan PAS jika PRU DUN Johor diadakan, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata belum ada sebarang keputusan mengenai perkara itu buat masa ini.
Ketetapan sebelum ini adalah Barisan Nasional (BN) akan bergerak bersendirian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti, menurutnya.