fb fb fb fb fb

UMNO Kelantan putuskan kerjasama politik Muafakat Nasional, kuat kuasa serta merta

KOTA BHARU, 22 Januari - UMNO Kelantan mengambil keputusan memutuskan kerjasama politik dengan PAS Kelantan melalui Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa serta merta.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata ketetapan tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas selepas pertemuan bersama pimpinan PAS negeri diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan.

Bercakap dalam sidang media di sini, beliau menjelaskan, asas utama keputusan tersebut dicapai berikutan PAS Kelantan yang masih menjalin kerjasama dengan BERSATU dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Selepas kita membuat keputusan pada hari ini sekiranya berlaku perubahan politik maka kita serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti kita untuk menentukan keadaan dan hala tuju kembali setakat ini, itu pendirian kita," kata Jazlan kepada media.

Terdahulu, pertemuan antara kedua-dua parti itu berlangsung di kediaman rasmi Datuk Ahmad Yaakob lebih dua jam, melibatkan Biro Politik UMNO Negeri dan Dewan Harian Pas Negeri.

Mengulas lanjut, Datuk Ahmad Jazlan berkata walaupun agak sedih untuk mengumumkan keputusan berkenaan, namun UMNO negeri perlu mengakui mereka harus bergerak secara solo selepas membuat pertimbangan sewajarnya.

Sehubungan itu, UMNO Kelantan juga jelasnya tidak menolak kemungkinan untuk bertanding di semua kerusi iaitu 45 kerusi DUN dan 14 kerusi parlimen atas dasar yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Machang itu sokongan terhadap Kerajaan Kelantan daripada wakil rakyat UMNO di peringkat DUN kekal selagi mana Ahli Parlimen PAS memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di peringkat Persekutuan.

Media Baharu