UMNO kekal setia dalam Kerajaan MADANI, tiang seri kestabilan negara

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Januari – UMNO menegaskan pendirian untuk terus setia melaksanakan amanah kenegaraan dalam Kerajaan MADANI selagi asas kenegaraan dihormati dan tidak dikhianati.

RINGKASAN BERITA AI
  • UMNO terus laksanakan amanah kenegaraan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
  • Setia kepada perjanjian kerjasama dan menghormati keputusan kolektif yang dimeterai.
  • Peranan UMNO bukan sekadar mengejar kuasa tetapi memikul tanggungjawab mempertingkatkan ekonomi dan kesejahteraan.
  • UMNO digambarkan sebagai tiang seri kestabilan negara, bukan pelengkap semata-mata.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan perbezaan pandangan parti itu terus menjalankan amanah demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.

“Tiga tahun lalu, tatkala negara diuji dengan ketidaktentuan, kita memilih untuk menempuh jalan yang beronak agar negara tidak terus hanyut dalam gelombang kemelut yang tidak berkesudahan.

“Selagi mana asas kenegaraan ini dihormati, tiada perkara dimungkiri dan keikhlasan tidak dikhianati, UMNO akan terus memainkan peranannya dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Presiden UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Amanah kenegaraan yang dipikul UMNO bukan semata-mata soal kuasa, sebaliknya tanggungjawab besar bagi membolehkan pencapaian ekonomi dan kesejahteraan rakyat dipertingkatkan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, UMNO kekal setia kepada perjanjian kerjasama dan menghormati keputusan kolektif yang dimeterai.

“UMNO tidak menagih layanan istimewa, tetapi UMNO juga bukan pelengkap semata-mata. UMNO adalah tiang seri kestabilan negara,” katanya.