fb fb fb fb fb

UMK laksana projek ternak ayam kampung kacuk

(Projek Ternakan Ayam Kampung Kacuk oleh UMK Kampus Bachok)

BACHOK, 14 Jun- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melaksanakan Projek Ternakan Ayam Kampung Kacuk menerusi zakat bernilai RM600,000 bagi memperkasa dan melestarikan sosioekonomi penduduk khususnya golongan B40.

Zakat itu disumbangkan RHB Islamic Berhad dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Timbalan Naib Cancelor Penyelidikan dan Inovasi (UMK) Profesor Ts Dr Arham Abdullah berkata, program bakal disertai seramai 60 individu melibatkan ibu tunggal dan anak yatim yang akan dibangunkan di sini.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan infrastruktur pemeliharaan, rumah penetasan telur dan sistem pemprosesan makanan ternakan yang mampu mengeluarkan lebih 60,000 ekor ayam untuk dipasarkan dalam tempoh setahun.

"Salah satu objektifnya ialah untuk memastikan penjanaan pendapatan bagi peserta OKU dan juga pelajar kita terlibat sama dalam penternakan ayam kacuk ini. Ia merupakan latihan kepada mereka daripada fakuti veterina untuk memastikan ayam itu sihat dan sebagainya. Dalam masa sama, kita melakukan kajian tertentu untuk memastikan produktiviti meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Usahasama Strategik antara RHB Islamic dan PNB bagi penyerahan zakat projek Ternakan Ayam Kampung Kacuk di UMK Kampus Bachok, di sini.

(Dr Arham Abdullah)

Media Baharu