KUALA LUMPUR, 18 November- Satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kyushu University (KU) bagi kerjasama dua hala di peringkat antarabangsa dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti kakitangan dan pelajar.
MoU berkenaan ditandatangani Naib Cancelor UMK, Prof. Datuk Dr. Razli Che Razak dan Dekan Fakulti Pertanian, Kyushu University, Prof. Dr. Miki Nakao, yang diadakan di Bandar Fukuoka.
Kerjasama bersejarah itu turut disaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Pengarah Pejabat Antarabangsa Kyusyu University, Prof. Dr. Igura Noriyuki.
Prof Razli berkata dengan terjalinnya kerjasama tersebut akan memperkukuhkan hubungan yang sudah lama terjalin antara UMK dan KU bermula tahun 2018.
Katanya, kerjasama itu menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh artikel jurnal berimpak tinggi termasuk perkongsian sumber melibatkan pertukaran sampel serta perkhidmatan analisis.
“Kerjasama baharu kedua-dua universiti bersetuju meneruskan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran pelajar dan penerokaan ruang kerjasama baharu termasuk perkongsian sumber seperti fasiliti, bahan dan dana penyelidikan.
“UMK optimis membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara kedua universiti dan tidak terhad hanya kepada penyelidikan malah melibatkan pertukaran pelajar, mobiliti pelajar dan staf serta pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
KU antara universiti yang direkodkan berada pada kedudukan teratas ranking antara universiti terbaik di Jepun.