fb fb fb fb fb

Isu Palestin, visa dan pelarian Rohingya fokus utama pertemuan dua hala Anwar, Trudeau

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Kanada Justin Trudeau di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30/FOTO BERNAMA

SAN FRANCISCO, 18 November - Isu Palestin, visa dan pelarian Rohingya antara tumpuan dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatan dari Kanada, Justin Trudeau di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (APEC).

Pertemuan berkenaan adalah atas permintaan Kanada.

Berhubung isu Palestin, kedua-dua pihak menegaskan konflik berkenaan adalah satu panggilan terhadap komuniti antarabangsa dalam usaha untuk menamatkan penjajahan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara.

Datuk Seri Anwar turut membangkitkan isu visa dengan Kanada, ini rentetan apabila pelancong Malaysia dikehendaki mendapatkan visa dengan tempoh menunggu antara 4 hingga 6 bulan, manakala pelancong Kanada pula diberikan visa semasa ketibaan.

Dalam pertemuan itu, Trudeau berjanji akan membetulkan keadaan itu secepat mungkin.

Selain itu, Trudeau berikrar akan melakukan lebih banyak bantuan bagi pelarian Rohingya di Malaysia.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan pemeteraian perjanjian perisian dan perkhidmatan jangka panjang antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Blackberry untuk mengukuhkan kedudukan keselamatan siber.

Menerusi pertemuan dengan enam pemimpin utama syarikat teknologi muslim Amerika Syarikat, Anwar memfokuskan bidang Artificial Intelligence (Kecerdasan Buatan), pendidikan dan aeroangkasa.

Antara pemimpin tersebut adalah Pengarah Komersil Jualan Hawthorne, Omar Kunbargi; Ketua Pegawai Eksekutif Palo Alto, Omar Tawakol dan Ahli Lembaga Pengarah Irvine, Fauad Hasan.

Mereka turut menyatakan minat untuk melabur di Malaysia.

Pada masa yang sama menzahirkan penghargaan kasih kepada Malaysia yang lantang bersuara untuk Palestin yang ditindas tanpa henti oleh Israel.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat jumaat di Pusat Islam San Francisco.

Ketibaan beliau disambut Ahli Lembaga Pengarah pusat berkenaan iaitu Dr Naeem Patel.

Solat Jumaat pula diimamkan Faiz Vaid.

Selepas selesai solat, Datuk Seri Anwar sempat beramah mesra bersama jemaah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Pusat Islam San Franciso mula beroperasi sekitar 1950-an dan telah melalui pembinaan 3 fasa.

Bagi menampung jumlah jemaah yang meningkat, solat jumaat telah diadakan 2 sesi melibatkan sekitar 250 jemaah pada satu-satu masa.

GRACE AISYAH KEDAYAN