KUALA LUMPUR, 6 Februari - Seramai 500 penduduk Orang Asli di Raub, Pahang menerima pendidikan kesihatan pergigian dan saringan kanser bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap kesihatan mulut dan kanser mulut.
Program khidmat masyarakat itu dilaksanakan 42 sukarelawan terdiri daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, PPB Group Berhad, Pertubuhan Komuniti ELITE, National Cancer Society of Malaysia (NCSM) dan Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA).
Universiti Malaya (UM) dalam satu kenyataan berkata, objektif utama program itu adalah untuk memberikan perkhidmatan kesihatan pergigian yang menyeluruh kepada masyarakat Orang Asli di Raub, termasuk, pendidikan kesihatan mulut, penskaleran mulut, topikal fluorida dan tampalan gigi mudah jika perlu dan kesedaran masyarakat itu terhadap pengesanan awal kanser mulut.
"Antara aktiviti yang dilaksanakan kepada para pelajar sekolah berkenaan adalah demonstrasi memberus gigi yang telah
ditunjuk ajar oleh Pelajar Pasca ijazah Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.
"Di samping itu, berus gigi dan ubat gigi berflorida diberi secara percuma kepada semua pelajar yang terlibat sebagai tanda galakan dalam penyertaan aktiviti. Selain itu, kuiz tentang kesihatan mulut turut diberikan kepada pelajar sekolah berkenaan," menurut kenyataan itu.
Program khidmat masyarakat itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Orang Asli Semai, malah memberi pengalaman berharga kepada pasukan pergigian dari UM.
"Kegembiraan seluruh penduduk kampung jelas terpancar di wajah mereka. Semoga program ini dapat memberi manfaat kepada semua masyarakat Orang Asli dan membuatkan mereka lebih cakna kepada kepentingan penjagaan kesihatan pergigian mereka," kata kenyataan itu lagi.