fb fb fb fb fb

'Ulat pelancong' Thailand ditahan dalam Ops Khas Van Putih JPJ, MOTAC

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan

JELI, 26 Mac - Taktik kotor 'ulat pelancong' Thailand yang membawa penumpang dari negara mereka dengan memandu van mewah yang kebanyakannya milik persendirian untuk melancong ke Malaysia terbongkar selepas ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata modus operandi mereka ialah dengan membawa penumpang dari negara itu dan kemudiannya menurunkan penumpang sebelum tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Pemandu itu juga didapati menyalahgunakan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) dengan membawa pelancong menggunakan kenderaan milik persendirian. Kesemua pemandu van yang ditahan akan disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ops Khas Van Putih JPJ dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Mengesan Ulat Pelancong, di sini pada Isnin.
 
Tambah Lokman, tindakan ulat pelancong itu boleh menjejaskan industri pelancongan negara selain merugikan pemandu teksi serta van pelancong di negara ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN