fb fb fb fb fb

UiTM sambut lebih 55,000 pelajar baharu sesi Okt 2024

Kampus utama di Shah Alam sahaja menerima 4,117 pelajar baharu/Foto UiTM

SHAH ALAM, 29 September - Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyambut seramai 55,455 pelajar baharu yang mendaftar bagi Sesi Oktober 2024 di seluruh negara semalam.

Pelajar-pelajar itu terdiri daripada 4,200 pelajar Pra Diploma, 26,991 pelajar Diploma, dan 24,264 pelajar Ijazah Sarjana Muda.

Kampus utama di Shah Alam sahaja menerima 4,117 pelajar baharu.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib, mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya memasuki universiti tersebut dan berharap mereka dapat memanfaatkan peluang itu untuk berjaya dalam akademik dan menyumbang kepada negara.

“Tahniah kerana berjaya melanjutkan pengajian di universiti yang penuh prestij ini. UiTM bangga menyambut anda dan berharap anda akan mengharungi cabaran akademik dengan penuh semangat dan dedikasi,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.

Beliau juga bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), YBrs. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, meluangkan masa untuk beramah mesra dengan para pelajar baharu di UiTM Shah Alam.

Pendaftaran untuk penempatan kolej kediaman berlangsung pada 28 dan 29 September, dengan pelajar ditempatkan di Kolej Mawar dan Kolej Perindu di UiTM Shah Alam.

Di kampus-kampus lain seperti Kedah, Terengganu, Kelantan, dan Johor, pendaftaran bermula lebih awal pada 27 September.

Minggu Destini Siswa, program orientasi wajib, akan diadakan dari 30 September hingga 4 Oktober 2024, bertujuan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.

GRACE AISYAH KEDAYAN