fb fb fb fb fb

Datuk Seri Anwar dahului senarai penerima darjah kebesaran negeri Kelantan

Leftenan Jeneral Datuk Zulkeffeli Mat Jusoh menerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPPK) daripada Sultan Kelantan

KOTA BHARU, 29 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai senarai 763 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar, Kota Bharu, hari ini.

Datuk Seri Anwar dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Paduka

Seramai 35 individu lagi menerima gelaran Datuk Seri Paduka antaranya Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Berhad, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhibbah Security Sdn Bhd, Datuk Mohd Khidir Yaacob yang dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK). 

Istiadat diikuti penganugerahan Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPPK) kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Zulkeffeli Mat Jusoh. 

Sementara tiga individu iaitu Pegawai Kewangan Negeri, Tengku Kaya Perkasa Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Profesor Jabatan Al-Quran dan Hadith Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mohd Yakub@Zulkifli Mohd Yusoff serta Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Datuk Rosnazli Amin dikurnia Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK). 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid turut menerima Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK) manakala bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad menerima Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK). 

Sultan Muhamad V turut berkenan menganugerahkan Jaksa Pendamai (JP) kepada tiga penerima iaitu Pengarah Komunikasi UEM Group Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Berhad, Noor Aishah Mohamed Noor, Pengarah Urusan Captain Roseley Enterprises Sdn Bhd, Datuk Roseley Omar dan Pengarah Urusan Mahsari Group, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran serta Pingat-pingat negeri Kelantan tersebut berlangsung dalam dalam dua sesi dengan sesi pertama melibatkan lebih 100 penerima hari ini. 

Terdahulu, Sultan Muhammad V dan Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah berkenan berangkat ke Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan yang berlangsung di Padang Merdeka, Kota Bharu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE