(Majlis penutupan i-IDEA 2023 di UiTM Cawangan Perlis, Arau)
ARAU, 11 Mei- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menganjurkan Pertandingan Inovasi, Reka Bentuk dan Artikulasi Antarabangsa Keenam 2023 (i-IDEA 2023) bertemakan 'Memperkasakan Penyelidikan, Idea Inovasi dan Keusahawanan ke Arah Ekonomi Mampan'.
i-IDEA 2023 diharapkan dapat mengetengahkan idea inovasi peserta dan menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga UiTM Cawangan Perlis, masyarakat setempat dan antarabangsa.
Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata, program peringkat antarabangsa tersebut dibahagikan kepada 17 acara daripada tiga kategori utama iaitu kategori inovasi, persidangan antarabangsa dan pertandingan serta pameran.
"Program kali ini berjaya mengetengahkan sebanyak 227 produk inovasi dihasilkan oleh ahli akademik dan bukan akademik, penyelidik, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan luar negara serta sekolah-sekolah menengah seluruh negara," katanya pada majlis penutupan i-IDEA 2023 di UiTM Cawangan Perlis di sini.
Katanya, UiTM Perlis juga menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi luar negara seperti Hatyai University, Thailand dan Universitas Islam Riau (UIR) bagi memastikan kelancaran dan pengiktirafan program i-IDeA 2023.
Dalam masa sama, universiti dalaman, agensi kerajaan serta swasta tidak ketinggalan untuk turut serta menjadi rakan strategik dalam penganjuran i-IDeA 2023 termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal (MASS), , Kolej Komuniti Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Quest International University (QIU) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping.
(Majlis penutupan i-IDEA 2023 di UiTM Cawangan Perlis, Arau)