fb fb fb fb fb

UiTM derma darah, pupuk budaya kesukarelawanan & tanggungjawab sosial

Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Mohammad Masrin Md Zahrin (tengah) disertai Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Prof. Dr. Ismie Roha Mohamed Jais dan Pengarah Pusat Kesihatan UiTM, Dr. Shairul’azam sahar bertemu peserta menderma darah sempena kempen Darah Perdana UiTM di UiTM Shah Alam

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Kempen Derma Darah Perdana "UiTM HEARTBEAT - Nationwide Blood Drive for a Better Tomorrow" yang berlangsung serentak di 22 kampus UiTM seluruh negara memupuk budaya kesukarelawanan, tanggungjawab sosial, dan empati dalam kalangan mahasiswa dan warga kampus.

Inisiatif Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pusat Darah Negara itu dalam usaha menyumbang kepada bekalan darah negara yang memerlukan sekitar 2,200 beg darah setiap hari.

Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Prof. Dr. Ismie Roha Mohamed Jais berkata, inisiatif itu bertepatan dengan aspirasi UiTM untuk membentuk individu berjiwa besar yang prihatin terhadap keperluan masyarakat, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 yang menekankan kesihatan dan kesejahteraan.

"Program ini merupakan titik permulaan bagi pelaksanaan kempen derma darah secara lebih sistematik dan berkala di seluruh kampus UiTM. Kami amat menghargai sambutan luar biasa yang diberikan oleh warga universiti dan masyarakat sekitar," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mohammad Masrin mengucapkan tahniah kepada UiTM kerana berjaya melaksanakan kempen berskala besar melibatkan ribuan penderma darah, termasuk ramai mahasiswa yang pertama kali menderma.

Usaha sedemikian dilihat penting dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi, selamat dan berkualiti.

"Bekalan darah diperlukan sepanjang masa untuk memastikan kelancaran rawatan di hospital. Kempen ini mampu menjadi contoh kepada institusi lain bagi mewujudkan komuniti penderma darah yang berterusan," katanya.

Majlis penutup kempen itu diadakan di Dewan Mawar Qaseh, Kolej Mawar, UiTM Shah Alam, dan dirasmikan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Mohammad Masrin bin Md Zahrin.

Ia turut dihadiri Pengarah Pusat Kesihatan UiTM, Dr. Shairul’azam Sahar dan Pengarah Program Kempen Derma Darah, Puan Anna Kartini Ahmad Lotfi.

Bagi menyokong hasrat tersebut UiTM sentiasa komited dalam menyokong aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dalam memastikan warga universiti itu terus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab sosial.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI