fb fb fb fb fb

U-DserveD UiTM, dinobat pemenang Anugerah MSOSH 2024

Foto UiTM

PETALING JAYA, 11 November- Universiti Teknologi MARA dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (Anugerah MSOSH 2024) untuk Sektor Awam Malaysia: Anugerah Premier.

Penganugerahan itu dicapai menerusi Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM (U-DServeD), selari UiTM sebagai universiti awam di Malaysia yang meneraju amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Menurut Pengarah U-DServeD, Profesor. Madya Ts. Dr. Roslinda Alias, U-DServeD komited memastikan piawaian di tempat kerja adalah selaras dengan yang terbaik di peringkat global.

Ini merupakan kali pertama U-DServeD menerima pengiktirafan tersebut, menekankan peranan penting mereka dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan dalam kalangan warga UiTM, khususnya dalam komuniti OKU.

"Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf usaha gigih dan komitmen kami dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di UiTM, tetapi juga mendorong kami untuk terus berinovasi dan memperbaiki amalan KKP kami", kata Dr. Roslinda.

Dengan kejayaan itu, U-DServeD kini diberikan hak untuk memaparkan logo Anugerah MSOSH dalam semua komunikasi rasmi mereka sepanjang tahun ini, simbol pengiktirafan dan komitmen mereka terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang cemerlang.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Profesor Ts. Sr Dr. Md Yusof Hamid berkata majlis berkenaan turut membolehkan U-DServeD berkongsi amalan terbaik selain meneroka kerjasama baharu dengan pemain utama lain di dalam industri itu.

Hal ini membantu memperkuat lagi rangkaian sokongan dan kolaborasi dalam memajukan KKP di negara.

"Kami berterima kasih kepada MSOSH atas pengiktirafan ini dan kepada semua yang telah menyokong usaha kami. Kami berkomitmen untuk terus menjadi contoh terbaik dalam industri ini dan untuk membawa perubahan yang berkesan dalam memastikan lingkungan kerja yang selamat untuk semua", kata Profesor Ts. Sr Dr. Md Yusof Hamid, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM.

Majlis penganugerahan berkenaan dilangsungkan bersempena dengan Majlis Anugerah MSOSH Tahunan ke-42, di Sunway Resort Hotel, hari ini.

Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada Profesor Ts. Sr Dr. Md Yusof Hamid, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), mewakili Naib Canselor UiTM, disaksikan oleh Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat.

Turut sama menerima anugerah berkenaan adalah Pengarah U-DserveD, Profesor Madya Ts. Dr. Roslinda Alias.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM