fb fb fb fb fb

Tuntutan kumpulan Sulu gagal lagi

(Fahmi ditemui media selepas menghadiri program BMCC Annual General
Meeting Fireside Chat With Communication and Digital Minister)

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Kemenangan Malaysia di Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda dalam kes tuntutan kumpulan Sulu boleh dikatakan menjadi penutup kepada segala cubaan pihak tidak bertanggungjawab itu merampas hak dan harta negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata ia satu kemenangan besar bagi negara dan rakyat Malaysia kerana sebelum ini ada pihak yang memberi bayangan seolah-olah boleh merampas aset negara, terutamanya di luar negara.

"Siri kemenangan di mahkamah-mahkamah antarabangsa ini bukan hanya membuktikan bahawa kerajaan Malaysia telah berjaya untuk mempertahankan hak dan harta rakyat Malaysia yang berada di luar negara, tapi membuktikan bahawa dakwaan kumpulan tersebut gagal dan tidak boleh dilayan," kata beliau ketika ditemui media selepas menghadiri program ‘British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) Annual General Meeting Fireside Chat With Communication and Digital Minister’ di sini.

(Fahmi berucap semasa menghadiri program BMCC Annual General Meeting Fireside Chat
With Communication and Digital Minister)

Jelas Fahmi, kejayaan itu hasil kerjasama kolektif dan tidak dapat dicapai sekiranya tidak bersatu hati mempertahankan kedaulatan dan hak negara.

Mahkamah Rayuan The Hague hari ini menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara berjumlah US$14.9 bilion di Belanda.

Award itu telah diberikan oleh penimbang tara antarabangsa, Dr Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 kepada lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Dalam usaha menguatkuasakan award itu, mereka dilaporkan cuba menyita aset Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.

Pada 6 Jun, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Stampa dan memutuskan beliau telah terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya.

 

Media Baharu