KUALA LUMPUR, 14 April - Jenazah Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan jenazah akan dibawa ke Masjid Negara pada 8.00 pagi dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
"Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu.
Menurut JPM pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah baju kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak serta bersongkok hitam dan ‘lounge suit’ gelap bagi bukan Islam.
Pakaian bagi pelawat wanita Islam pula adalah baju kurung/kebaya labuh warna gelap dengan selendang/tudung putih manakala bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih. Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai.
JPM juga memaklumkan bahawa semua bangunan di dalam jarak radius dua kilometer daripada Masjid Negara hendaklah mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai istiadat pengebumian.
Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya hari ini pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada pukul 7.10, malam tadi.