MALBOURNE, 5 Mac - Tujuh syarikat Australia telah menyatakan komitmen untuk menambah pelaburan dan membawa pelaburan baharu ke Malaysia.
Komitmen itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri ketika Mesyuarat Meja Bulat bersama Pemimpin Industri di Melbourne.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, antara bidang perniagaan terlibat yang bakal memasuki Malaysia adalah teknologi hijau, dan tenaga guna baharu.
“Mesyuarat berlangsung dengan baik, banyak isu yang telah dibangkitkan oleh syarikat dan pelabur dari Australia. Ada yang telahpun melabur dan ada yang akan melabur.
“Perdana Menteri kemudiannya mengadakan pertemuan bersemuka dengan beberapa syarikat dalam industri ekonomi digital, pembuatan berkaitan mineral dan sebagainya serta tenaga boleh diperbaharui.
“Kita akan buat pengumuman selepas ini apabila semua syarikat dan pelabur telah berjumpa dengan Perdana Menteri dan akan berkongsi (hasil pertemuan),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama Pemimpin Industri di Melbourne.
Beliau menambah, antara isu yang dibangkitkan oleh syarikat-syarikat Australia adalah supaya kerajaan terus mempermudahkan lagi proses pelaburan dan juga perdagangan.
Dalam masa sama, keperluan kerajaan untukterus memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui memandangkan Malaysia mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Selain peranan Malaysia dalam perdagangan global memandangkan mereka berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk eksport ke luar negara.