fb fb fb fb fb

Tujuh jenazah mangsa tragedi kepala air disemadikan dalam satu liang lahat

(FOTO RTM)

KUANTAN, 4 Julai- Tujuh jenazah mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir Tiga, Kuantan pada pukul 10.40 malam tadi.

Tujuh jenazah itu ialah Karim Abdullah, 39 tahun, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40 tahun.

Turut dikebumikan lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun; Putri Nurerina Natasya,10 tahun; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 tahun; Putri Aryana Umaira Karim, 4 tahun, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 tahun.

Jenazah dibawa menaiki tujuh van jenazah ihsan badan bukan kerajaan (NGO).

Kenderaan jenazah turut diiringi Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Jenazah  dibawa dari  Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu  tibadi Masjid Felda Lepar Hilir Tiga, Kuantan pada pukul 10.00 malam dan disembahyangkan dengan diimamkan oleh Ibrahim Mat Nor.

Solat jenazah disertai lebih 100 jemaah terdiri daripada penduduk Lepar Hilir Tiga dan keluarga mangsa.

Selain itu, solat jenazah turut disertai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dihadiri lebih 300 orang sebaik jasad tujuh beranak itu dimasukkan ke dalam liang lahad.


(FOTO RTM)

Media Baharu