KOTA KINABALU, 15 September- Sekurang-kurangnya sembilan mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di Bukit Cendera Kasih, Kampung Cendera Kasih, Inanam, pagi tadi.
Daripada jumlah itu, dua mangsa berjaya diselamatkan orang awam, manakala tujuh lagi masih hilang dan dalam pencarian pasukan penyelamat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.02 pagi, sebelum jentera pertama tiba di lokasi 22 minit kemudian.
Operasi menyelamat dikendalikan 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan tiga jentera serta dibantu agensi lain.
Usaha mengesan mangsa yang masih tertimbus sedang giat dijalankan.