GEORGE TOWN, 15 September- Persiapan Sambutan Hari Malaysia 2025 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth mencapai 95 peratus dengan kira-kira seribu tempat letak kenderaan disediakan bagi kemudahan pengunjung.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah berkata, semakan terakhir aspek teknikal dan susunan atur cara akan dilaksanakan malam ini.
Beliau memaklumkan kemudahan tambahan termasuk surau serta laluan trafik sehala di hadapan PICCA akan diwujudkan bagi melancarkan perjalanan program.
"Persiapan berjalan lancar dan hanya semakan teknikal terakhir akan dibuat malam ini. Saya menyeru warga Pulau Pinang khususnya serta masyarakat di sebelah utara hadir beramai-ramai ke PICCA Butterworth untuk meraikan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan," katanya.
Beliau ditemui RTM selepas hadir sebagai tetamu di konti MUTIARAfm di sini.