fb fb fb fb fb

Tuisyen Pintar YPM tajaan PROLINTAS beri manfaat kepada lebih 100 calon SPM

Wakil PROLINTAS, YPM dan pihak pengurusan SMK Taman Seraya bersama peserta Program Tuisyen Pintar YPM @KKDW 2023 selepas sesi tuisyen pada 18 November 2023 / Foto PROLINTAS

KUALA LUMPUR, 4 Januari – Lebih 100 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga berpendapatan rendah telah menerima manfaat tuisyen secara percuma menerusi program Tuisyen Pintar YPM@KKDW tajaan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata selaku pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang, adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk menyumbang semula kepada masyarakat dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) berteraskan pendidikan.

“Inisiatif CSR ini adalah kerjasama berterusan antara PROLINTAS dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) sejak beberapa tahun lalu. Bukan semua ibu-bapa mampu menawarkan tuisyen kepada anak-anak mereka, memandangkan kosnya yang agak tinggi. Dengan tajaan ini, pelajar-pelajar berpeluang mendapatkan tip-tip menjawab kertas peperiksaan daripada tenaga pengajar bertauliah ketika sesi tuisyen berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Mohamad Azlan, sebanyak lapan sekolah yang terletak berhampiran lebuh raya di bawah kendalian PROLINTAS telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

Sekolah-sekolah yang terlibat ialah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seraya, SMK Pandan Mewah, SMK Pandan Indah, SMK Tasik Permai, SMK Pandan Jaya, SMK Taman Kosas, SMK Bandar Baru Ampang dan SMK Dato’ Ahmad Razali.

"PROLINTAS komited untuk meneruskan inisiatif itu di masa akan datang dan berharap agar semua pelajar terlibat berjaya menjawab peperiksaan dengan baik serta memperoleh keputusan yang cemerlang," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN