fb fb fb fb fb

PADU diselia penjawat awam untuk keselamatan data

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

PUTRAJAYA, 4 Januari- Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) diselia oleh penjawat awam dan bukannya vendor atau syarikat swasta adalah bagi tujuan keselamatan data.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini berdasarkan pengalaman kajian pihaknya sebelum ini, insiden kebocoran data berlaku disebabkan oleh pengendalian pihak swasta.

"Tapi risiko yang lebih besar ialah risiko pengendalian dan akses kepada data dan itu keputusan yang kami buat terutama, sayalah. Bahawa ia perlu dikendalikan oleh penjawat awam kerana kita hendak mengurangkan dan mengurangkan risiko ada third party.ataupun pembangun ataupun pengendali yang bukan penjawat awam yang membangunkan sistem tetapi dia ada akses kepada maklumat rakyat", katanya dalam sidang media Pasca Pelancaran PADU di Putrajaya.

Menurut beliau lagi, pengendalian PADU oleh penjawat awam lebih terjamin memandangkan mereka tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972, selain dapat mengurangkan kos dan memudahkan pembangunan kepakaran dalam aplikasi tersebut.

Sementara itu, seramai 516,168 rakyat Malaysia telah mendafar dalam PADU setakat pukul 4.00 petang tadi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 261,158 pengguna telah selesai proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

"Tumpuan pasukan PADU pada peringkat kerajaan ialah untuk kita mengunjurkan dan memahami pola pendaftaran untuk tempoh seminggu, dua minggu akan datang untuk kita menangani risiko keciciran", katanya.

Dengan unjuran pola pendaftaran ini, ia membantu pasukan PADU memastikan pendaftaran merangkumi seluruh negara, selain membantu dalam mendepani cabaran golongan kurang celik digital.

Rafizi turut memaklumkan, pihaknya menyasarkan 500,000 pengguna mengakses PADU setiap hari dengan 200,000 pengguna mendaftar lengkap sehari. 

ROSLINA BINTI DIN