fb fb fb fb fb

TUDM terima empat helikopter Leonardo AW 139 pengganti Nuri

BUTTERWORTH, 10 FebruariTentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima helikopter Leonardo AW 139 untuk kegunaan baharu menggantikan Nuri yang telah tamat operasi pada Ogos 2019.

Pesawat baharu itu diterima menerusi kaedah kontrak sewaan mengguna pakai konsep Government Operate, Company Own Maintain (GOCOM) bersama syarikat Westar Aviation Services Sdn Bhd.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setakat ini tiga helikopter sudah pun diterima, manakala sebuah lagi dijangka diterima pada Mei depan.

Menurutnya, perolehan helikopter AW 139 secara sewaan adalah selari dengan perancangan bawah Pelan Tindakan 2022, iaitu meningkatkan lagi kesiapsiagaan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mengikut konsep GOCOM, semua kos selenggara diletak bawah tanggungjawab syarikat yang menyewakan helikopter tersebut.

"Keberadaan helikopter AW 139 ini akan mengurangkan sedikit sebanyak penggunaan helikopter EC725AP dalam latihan dan operasi sebab itu AW dapat digunakan untuk keperluan untuk melegakan EC725AP yang sedia ada," kata Hishammuddin selepas menghadiri program pengenalan pesawat baharu itu di Pangkalan Udara Butterworth, di sini.

Tambahnya kaedah GOCOM merupakan pendekatan luar kotak yang perlu diguna pakai ketika tumpuan kewangan terarah kepada usaha pemulihan negara pada era pandemik ketika ini.

Menerusinya, tempoh proses perolehan termasuk berkaitan tender dan pembinaan aset dapat dikurangkan.

Hadir sama ke program itu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

 

Media Baharu