JOHOR BAHRU, 10 Februari - Polis menahan tujuh individu dipercayai terlibat sindiket pemerasan video bogel melalui enam siri serbuan disekitar Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor pada 16 Januari lalu.
Modus operandi didalangi tiga lelaki dan seorang wanita tempatan, bersama dua wanita dan seorang lelaki warga Indonesia, masing-masing berumur 25 hingga 54 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan dijalankan menerusi Op Bugil susulan menerima 367 aduan berkaitan kes tersebut.
Menurutnya, mangsa diperdaya menerusi media sosial MiChat, WeChat dan aplikasi WhatsApp.
"Modus operandi sindiket adalah menghubungi mangsa melalui aplikasi media sosial dengan menyamar sebagai wanita yang hendak mencari kenalan," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
"Kemudian sindiket akan membuat panggilan video kepada mangsa dengan mempamerkan aksi lucah dengan memperdayakan mangsa untuk melakukan adegan lucah.
"Pada masa yang sama sindiket akan merakam aksi tersebut tanpa disedari dan mengugut mangsa akan menyebarkan aksi yang dirakam.
"Mangsa diminta untuk membuat pembayaran sejumlah wang ke dalam akaun bank yang diberikan supaya video yang dirakam tidak ditular.
"Oleh kerana takut rakaman tersebut tersebar, maka mangsa akan membayar wang seperti diminta melalui nombor akaun yang diberikan," ujarnya lagi.
Katanya, sebanyak 144 kertas siasatan telah dibuka melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM485,013.00.
"Sehingga kini, 25 kes berjaya diselesaikan dan kami masih mengesan beberapa ahli sindiket," katanya.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan menggunakan platform media sosial dengan bijak supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah sindiket berkenaan.