KUALA LUMPUR, 31 Julai - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menangguhkan pengumuman tarif yang akan dikenakan ke atas Malaysia sehingga esok.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hasil perbincangannya menerusi panggilan telefon bersama Trump pada 6.50 pagi tadi.
"Kami turut membincangkan soal tarif atas semangat dan prinsip perdagangan bebas serta pelbagai siri rundingan yang digerakkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama pihak Wakil Perdagangan dan juga Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat.
"Setelah perbincangan itu berlaku dan penjelasan yang saya sampaikan, beliau memutuskan untuk menangguh pengumuman
keesokkannya dan kadar tarif akan diumumkan esok.
"Kita doa ia akan membantu dan tidak membebankan ekonomi negara kita," katanya dalam ucapan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Pentadbiran Trump akan mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia bermula 1 Ogos 2025.
Datuk Seri Anwar berkata, Anwar berkata Trump turut menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana telah memainkan peranan yang berkesan dan sebaiknya dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja.
“Dalam respons, saya menyatakan ini kerana kesepakatan ASEAN dan sikap positif kedua-dua negara serta kerjasama yang ditunjukkan AS terutamanya Presiden Trump dan Presiden China, Xi Jinping,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan Trump turut mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.