fb fb fb fb fb

33 institut TVET sedia latih pakar AI tempatan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Sebanyak 33 institut latihan di bawah seliaan Jabatan Tenaga Manusia kini menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang teknologi terkini, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), bagi menangani kekurangan kira-kira 10,000 jurutera dan pakar AI di Malaysia.

Langkah itu diambil bagi memperkukuh daya saing negara dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut melaksanakan pendekatan perantisan berasaskan tempat kerja melalui Program Akademi Dalam Industri (ADI), melibatkan lebih 1,700 syarikat dan 303 pusat latihan.

"JPK turut bekerjasama dengan badan peneraju industri seperti Cybersecurity Malaysia, Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute, Malaysia Digital Economy Corporation dan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan bagi membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan dalam bidang AI dan keselamatan siber, berasaskan kajian permintaan tenaga kerja", katanya demikian di Parlimen hari ini.

Dalam masa sama, CIAST turut melaksanakan kursus jangka pendek kepada pengajar TVET melibatkan modul-modul terkini seperti "AI for Generative Industrial Instructor" dan "Metaverse in Education", melibatkan 475 pengajar sejak tahun 2024.

Ujar beliau, TalentCorp turun membangunkan platform MyMAHIR.my bagi memberikan panduan kerjaya dan latihan kepada pelajar, belia dan pencari kerja, selaras dengan kajian impak teknologi seperti AI, digital dan ekonomi hijau terhadap pasaran buruh negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD