fb fb fb fb fb

Tren kemasukan PATI melalui perairan negara berkurangan 60 peratus

KUALA LUMPUR, 6 Februari- Trend kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan negara menunjukkan penurunan secara drastik sehingga lebih 60 peratus.

Ia bagi tempoh 5 tahun kebelakangan ini, hasil operasi pemantauan dan rondaan berterusan khususnya di sepanjang kawasan perairan negara.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya (Maritim) Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

"Pemantauan secara berterusan ini kita buat sepanjang perairan negeri dengan cara kita meningkatkan penugasan aset-aset termasuk aset udara.

"Kita juga menggunakan pengesanan melalui radar yang mana kita mempunyai sistem pengawasan maritim laut ataupun dikenali sebagai SWASLA, untuk mengesan sebarang pergerakan bot yang lalu di perairan kita terutamanya bot-bot yang mencurigakan.

"Namun begitu, tidak dinafikan juga, dengan keluasan zon maritim Malaysia, perairannya seluas 556,285 kilometer persegi ini, sedikit sebanyak ia akan memberikan cabaran.

"Cabaran kepada Maritim Malaysia untuk mengawal kemasukan PATI daripada masuk ke perairan negara kitalah. Maritim Malaysia turut menggerakkan beberapa aset ke kawasan 'hotspot', kawasan panas yang kita kenal pasti, yang berada di setiap sempadan di perairan negara kita," katanya.

(Laksamana Madya (Maritim) Datuk Saiful Lizan Ibrahim)

Beliau menyatakan demikian ketika menjadi tetamu program terbitan RTM di Angkasapuri.

Saiful Lizan memaklumkan, APMM turut menjalin kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Ia bagi membendung kemasukan PATI melalui perairan negara.

Media Baharu