fb fb fb fb fb

Treler terbalik di Perak, dua lelaki cedera

Foto Ihsan JBPM Perak

GERIK, 30 Mac- Dua lelaki cedera apabila treler yang dinaiki mereka terbalik di Lebuhraya Timur Barat Gerik berhampiran kawasan Rehat & Rawat Titiwangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.32 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba & Penyelamat (BBP) Gerik telah bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

Pihaknya mendapati, sebuah treler telah terbalik di pinggir jalan dan salah seorang mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak tentera yang melalui kawasan tersebut.

Mangsa yang mengalami cedera ringan di bahagian kaki dan tangan itu telah dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mangsa kedua dilapor tersepit di bahagian pemandu, berjaya dikeluarkan pihak bomba dan hanya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tekak.

Mangsa tersebut kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pada pukul 11.25 pagi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM