fb fb fb fb fb

Tragedi tanah runtuh: 15 mayat mangsa diserahkan kepada waris semalam

(Ahli keluarga mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali,
tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk melakukan proses pengecaman mayat semalam/FOTO BERNAMA)

BATANG KALI, 18 Disember - Sebanyak 15 mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong di sini telah diserahkan kepada keluarga mereka semalam.

Kesemua mayat mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan diserahkan kepada waris selepas proses pengecaman dan bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata baki sembilan lagi mayat masih berada di HSB untuk bedah siasat dan menunggu proses tuntutan oleh waris.

“Kita memohon waris dan keluarga terlibat dan rakan kepada mangsa yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini untuk pergi ke HSB bagi membuat pengecaman dan mengenal pasti identiti mayat," katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

(Antara keluarga jenazah Nurul Azwani Kamarulzaman yang merupakan mangsa
insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali Selangor
keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh semalam/FOTO BERNAMA)

Katanya, sehingga kini ada identiti mangsa belum dikenal pasti, oleh itu waris atau keluarga yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan polis.

Suffian berkata, pihaknya mempunyai pasukan khas di hospital bagi membantu menguruskan aspek dokumentasi dan urusan penyerahan mayat kepada keluarga mangsa terlibat.

Kejadian tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lalu telah mengorbankan 24 nyawa.

Dalam kejadian itu seramai 94 mangsa terperangkap dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi nyawa terkorban sementara sembilan masih hilang.

Runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah menimpa tiga tapak perkhemahan itu, di Jalan Genting-Batang Kali di sini.

Operasi mencari dan menyelamat hari ini memasuki hari ketiga dan dihentikan pada 9 malam tadi susulan hujan lebat sebelum disambung semula pada 8 pagi tadi.

"Sebanyak lima komponen pasukan penyelamat kini berada di lokasi membabitkan 112 anggota dan tiga anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.

Media Baharu