fb fb fb fb fb

Tragedi Putra Heights: Polis tidak terima laporan kematian, hilang harta benda

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan minta waris dan mangsa tampil membuat laporan polis sekiranya melibatkan kematian atau harta benda hilang selepas tragedi kebakaran itu pada 1 April lalu/Foto BERNAMA

SUBANG JAYA, 8 April - Tiada sebarang laporan kematian mahupun kehilangan harta benda diterima setakat ini berhubung insiden letupan paip gas di Putra Height, di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya memandang serius segala dakwaan yang ditularkan di media sosial, namun setakat ini, tiada sebarang laporan rasmi dibuat oleh mana-mana individu atau keluarga mangsa.

“Pihak polis tidak pernah menyembunyikan sebarang kematian, malah kami juga tidak menerima apa-apa laporan mengenai kehilangan harta benda. Kalau benar ada kehilangan, saya minta tampil ke balai polis berdekatan untuk buat laporan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Beliau menegaskan bahawa pihak polis tiada sebarang kepentingan untuk menyembunyikan kematian atau fakta.

Menurut beliau, semua siasatan dijalankan secara telus bersama agensi terlibat sejak kejadian letupan yang berlaku pada 1 April lalu.

“Netizen janganlah buat tuduhan sebarangan yang tidak berasas dan boleh menimbulkan kegusaran. Kami di sini bertindak secara terbuka dan profesional,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata seramai 120 anggota polis telah ditempatkan di semua laluan keluar masuk kawasan kejadian termasuk di taman perumahan dan kampung berhampiran.

Ini bagi memastikan keselamatan dan mengelak sebarang pencerobohan berlaku.

“Setiap simpang dan laluan dikawal, sama ada oleh anggota bertugas am atau dari Pasukan Gerakan Am (PGA), 24 jam sehari. Jika ada yang mendakwa kehilangan barang, sila buat laporan kepada polis untuk tindakan susulan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk faktor mekanikal, persekitaran, operasi dan keselamatan.

Katanya, ini bagi mengenal pasti punca punca insiden dan tidak berlaku sebarang pengabaian aspek keselamatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN