KUALA LUMPUR, 8 April- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang menubuhkan akta baharu khusus untuk pengurus hartanah di negara ini.
Menterinya Nga Kor Ming berkata kelemahan pengurusan hartanah merupakan isu lama berlarutan, yang menyebabkan kemerosotan nilai aset terutama bangunan berstrata.
"Setiap firma bertanggungjawab menguruskan 44 skim strata atau 4,898 unit strata. Ini menunjukkan masalah serius, terdapat firma berlesen yang tidak mencukupi untuk melaksanakan semua skim strata dengan betul.
"Mendorong kepada kualiti perkhidmatan yang lemah bagi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC), serta pertambahan pengurus hartanah tidak berlesen di seluruh negara", katanya dalam Simposium Strata Antarabangsa, di sini, hari ini.
Ketika ini hanya 594 firma berlesen menguruskan 26,334 skim strata atau 2.91 juta unit strata di Malaysia.
Sementara itu, sebanyak 1,016 projek perumahan bernilai RM98.96 bilion, berjaya dipulihkan, setakat Februari lalu.
Ia melibatkan lebih 122,000 unit rumah sejak penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai pada Disember 2022.
Pemaju yang gagal menyiapkan projek juga dikenakan tindakan.
"Setakat semalam, 109 pemaju disenarai hitam kerana ketidakpatuhan. Ia sebagai sebahagian usaha untuk menjamin kepentingan pembeli rumah dan meningkatkan imej pemaju perumahan.
"Bukan sahaja disenarai hitam, pemaju turut dikenakan kompaun keseluruhan RM9.05 juta. Pengarah syarikat pemaju turut disenarai hitam", katanya.