fb fb fb fb fb

Tragedi kepala air: Pencarian mangsa terakhir sukar, hujan lebat keruhkan air sungai

(Anggota dari Unit Penyelam JBPM melakukan pencarian mangsa di dasar sungai)

KEMAMAN, 8 Julai- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini, yang memasuki hari ketujuh masih tidak menemukan sebarang petunjuk baru.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, kesukaran dihadapi pasukan penyelamat disebabkan cuaca tidak menentu dan hujan lebat di kawasan hulu telah menyebabkan arus kembali deras.

Situasi tersebut mengakibatkan air sungai kembali keruh berbanding semalam dan menimbulkan kesukaran kepada pasukan SAR untuk mencari Putri Nor Fatin Karim, 14.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih Kemaman tragedi kepala air dipindahkan pengoperasiannya ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh.

Azman berkata operasi SAR diteruskan dengan skala pencarian dikecilkan.

"Memandangkan operasi sudah masuk hari ketujuh dan hari kelapan kejadian, kita akan kecilkan skala pengoperasian kepada peringkat pencarian di peringkat balai jagaan iaitu BBP Cheneh dan BBP Chukai bagi pengoperasian secara pemantauan dan pencarian peringkat skala kecil bersama dengan Balai Polis Air Putih dan orang kampung," katanya di lokasi pencarian di sini.

Sembilan mangsa telah ditemukan sejak Ahad iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anaknya iaitu Putri Alleya Maisarah, 16, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Sementara itu, anak tiri Karim, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, ditemukan pada Selasa, sementara tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, ditemukan semalam.

 (Anjing dari Unit Pengesan K9 JBPM bantu operasi SAR mangsa tragedi kepala air
di Jeram Mawar, Air Putih, 
di Kemaman, Terengganu)

Berita berkaitan:
Tragedi kepala air: Pencarian mangsa terakhir fokus di sektor A
Tragedi kepala air: Jenazah kesembilan Muhammad Fikri selamat disemadikan
Tujuh jenazah mangsa tragedi kepala air disemadikan dalam satu liang lahat
Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga mangsa lemas tragedi kepala air
Dua maut, lapan masih hilang tragedi kepala air di Kemaman

Media Baharu