fb fb fb fb fb

Trafik penumpang udara di Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Trafik penumpang udara di Malaysia mencatat peningkatan sebanyak 71.7 peratus pada sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama pada tahun lepas .

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, jumlah penumpang penerbangan dijangka kembali meningkat tahun depan kepada tahap sebelum COVID-19 iaitu pada 2019 .

"Ini adalah penting dari segi kehadiran pelancong-pelancong dari luar negara ke Malaysia kerana sektor pelancongan ini merupakan satu pemangkin utama dari segi pertumbuhan ekonomi dan membawa kepada pertumbuhan ekonomi negara kita.

"Ia melibatkan sektor perkhidmatan, perhotelan, peruncitan dan sebagainya. Bagi pihak Kementerian Pengangkutan kita sudah tentu membuat segala yang boleh untuk pastikan bahawa jumlah penumpang ataup jumlah kehadiran ke negara kita ini terus meningkat," kata Loke, di sini.

Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga September tahun ini sebanyak 62.83 juta penumpang udara direkodkan dan bagi September sahaja jumlah penumpang udara ialah 7.17 juta.

(Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap dalam sidang media
selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara
(NACC), di sini)

Beliau berkata pada 2019, Malaysia mengendalikan hampir lebih 100 juta penumpang udara di semua lapangan terbang seluruh negara dan menjangkakan dapat mencapai 80 peratus penumpang udara pada hujung tahun ini, iaitu lebih 80 juta penumpang.

Loke berkata oleh itu, NACC berperanan penting sebagai platform menghubungkan pihak berkepentingan dari lapangan terbang, syarikat penerbangan dan groundhandler, untuk bekerjasama dalam memastikan sektor penerbangan berjalan lancar, seterusnya menambah kesalinghubungan kepada lebih banyak destinasi penerbangan.

“Kita masih di belakang dari segi kesalinghubungan di ASEAN, kerana kita bukan tertinggi di peringkat ASEAN dan kita cuba usaha untuk memastikan bahawa kita terus berada di kedudukan lebih baik.

“Di ASEAN lapangan terbang kita dari segi index kesalinghubungan, kita di belakang Singapura, Bangkok dan Manila, kita berada di tangga keempat dengan jumlah destinasi yang telah kita ada dari Malaysia ialah 90 pada 2023 berbanding 137 pada 2019,” katanya.

Media Baharu