KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Sidang Dewan Rakyat meluluskan, Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023; dapat memastikan penjimatan bil utiliti hampir RM100 bilion, menjelang 2050 boleh dicapai.
Ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penguatkuasaan undang-undang itu mampu mencapai anggaran penjimatan pelepasan karbon hampir 200,000 kiloton.
"Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga yang telah diluluskan akan memastikan kecekapan tenaga elektrik dan juga tenaga terma yang kita anggarkan dalam jangka masa panjang," katanya.
RUU yang diluluskan itu juga bagi mengawal selia penggunaan cekap tenaga dan konservasi tenaga serta untuk menambah baik dan meningkatkan kecekapan tenaga selain mengelakkan pembaziran.
Undang-undang itu akan dikuat kuasa dalam tempoh 12 bulan selepas diwartakan.
Dewan turut dimaklumkan, hasil eksport tenaga membolehkan Malaysia, menaik taraf grid elektrik.
Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) menganggarkan kadar untuk Malaysia menaik taraf grid sehingga tahun 2050 adalah sebanyak RM180 bilion.
"Ini merupakan satu jumlah yang sangat besar dan apabila kita eksport, kita mampu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Malaysia untuk kita menaik taraf grid.
"Kalau boleh kita nak pasang lebih banyak tenaga solar dan sebagainya tetapi sekiranya grid kita tidak bersedia maka kita akan lihat masalah yang berlaku di Vietnam. Ia perlu berjalan seiringan untuk kita pastikan grid kita bersedia dengan tenaga boleh baharu yang masuk kedalam sistem," katanya.
Pada persidangan hari ini, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 yang antara lain bertujuan meminda beberapa peruntukan dalam Akta Bekalan Elektrik 1990 susulan penggubalan EECA.
(Nik Nazmi Nik Ahmad)
Sementara itu dewan turut meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika penggulungan memberitahu, keperluan tender terbuka dalam perolehan kerajaan tidak tersenarai dalam penguatkuasaan undang-undang baharu berkaitan perbelanjaan kerajaan dan tanggungjawab fiskal.
"Penggubalan Akta Perolehan kerajaan GPA, dijangka akan dibentangkan pada kedua 2024. Jadi bila disebut isu kapal tempur pesisir (LCS), hasrat Kementerian Kewangan adalah (untuk gubal) akta khusus. Jadi tidak ada keperluan masukkan tender terbuka dalam Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) ini," katanya.
Justeru, segala pengurusan berkaitan tender terbuka kerajaan tidak perlu dimasukkan dalam RUU berkenaan.
Ahmad Maslan turut menyatakan sebarang pindaan selepas diluluskan tidak akan memberi kesan kepada belanjawan.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu, beliau menjelaskan kerajaan telah menetapkan sasaran, masing-masing perbelanjaan pembangunan tahunan sebagai peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekurang-kurangnya tiga peratus; baki fiskal sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak -3.0 peratus atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Sasaran itu juga memastikan paras hutang sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak 60 peratus atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan jaminan kewangan sebagai peratusan kepada KDNK tidak melebihi 25 peratus.
Penekanan turut diberikan kepada kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus kewangan awam.