fb fb fb fb fb

TPM Zahid mohon KPT tambah kuota pelajar perubatan UniKL RCMP

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyaksikan simulasi rawatan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) selepas baginda menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Perak Royal College Of Medicine Perak, UniKL hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 28 Ogos- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diharap dapat mempertimbang penambahan kuota sekurang-kurangnya 250 pelajar baharu bagi kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UNIKL RCMP sentiasa mengekalkan mutu pengajaran berkualiti, kurikulum piawaian antarabangsa serta kekuatan tenaga akademik berwibawa.

Beliau optimis perkembangan pesat UniKL RCMP melonjakkan peranan institusi berkenaan sebagai pusat kecemerlangan perubatan unggul yang memberi manfaat besar kepada rakyat Perak.

"Melihat kepada perkembangan pesat UniKL RCMP, patik yakin bahawa suatu hari nanti akan tertegak sebuah hospital pengajar yang menjadi mercu tanda baharu dalam bidang ilmu dan bakti.

Hospital ini bukan sahaja akan memperkukuh pengajaran dan pembelajaran, malah juga berperanan sebagai sumber manfaat kepada masyarakat, membantu mengurangkan kesesakan hospital, serta menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan rakyat dan negara," kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid dalam ucapannya, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak Kolej Diraja di Ipoh yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sehingga kini, UNIKL RCMP telah berjaya melahirkan lebih 10,000 graduan berkualiti tinggi yang bukan sahaja berkhidmat dalam negara, malah turut mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Hospital pengajar yang dirancang diyakini memberi manfaat besar kepada masyarakat, membantu mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada, serta memperkukuh barisan hadapan sektor kesihatan negara pada masa hadapan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM