fb fb fb fb fb

Kerajaan beri jaminan SST tidak bebankan rakyat

Lim Hui Ying / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kerajaan memberi jaminan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) tidak akan membebankan majoriti rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata pengenaan cukai dibuat secara bersasar dengan pengecualian diberi ke atas barangan dan perkhidmatan asas.

“Berdasarkan kajian impak awal yang telah dibuat oleh kementerian sebelum SST dilaksanakan, kesan ke atas isi rumah terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dianggarkan rendah dan terkawal.

"Ini kerana pengenaan cukai telah dibuat secara bersasar melalui pengecualian cukai jualan ke atas barangan keperluan asas meliputi makanan ruji, ubat-ubatan, buku serta mesin atau jentera untuk sektor pertanian dan penternakan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tambahnya, hasil daripada peluasan SST akan disalurkan kembali untuk manfaat rakyat menerusi bantuan dan subsidi di bawah dasar kerajaan.

“Dalam masa yang sama, pemantauan harga barangan dan kos perkhidmatan dilakukan secara aktif dari semasa ke semasa oleh agensi penguatkuasaan.

"Langkah penguatkuasaan ini penting untuk melindungi pengguna daripada kesan rantaian yang tidak wajar dan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.

"Peluasan SST dijangka bukan sahaja membolehkan sumber hasil kerajaan dapat diperkukuh, tetapi dalam masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat," katanya lagi.

Jelasnya lagi, cukai digital bukanlah cukai baharu kerana telah dilaksanakan sejak 1 Januari 2020 dengan mekanisme berbeza berbanding peluasan SST yang berkuat kuasa Julai 2025.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM