KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Enam negeri kurang membangun termasuk Sabah kekal diberi keutamaan dalam agihan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Taib berkata bagi tahun 2025, Sabah menerima peruntukan pembangunan asas kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan iaitu sebanyak RM6.12 bilion atau 14.84 peratus.
“Secara keseluruhan di bawah RMK12, Sabah memperoleh peruntukan pembangunan asas paling tinggi sebanyak RM28.64 bilion atau 16.78 peratus.
“Dalam RMK13 pula, usaha akan terus dipergiat bagi menambah baik kriteria negeri kurang membangun dalam memastikan tiada negara yang terpinggir dalam agenda pembangunan negara,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan ahli parlimen Ranau mengenai jumlah agihan peruntukan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam RMK13 yang akan memberi impak terhadap jurang pembangunan.
Tambah Datuk Hanifah, penyeimbangan kemajuan ekonomi wilayah dan pengukuhan pembangunan luar bandar menjadi antara tumpuan utama dalam RMK13.
Usaha tersebut akan dilaksanakan secara bersepadu dan holistik merangkumi aspek pengagihan peruntukan, pengukuhan asas ekonomi setempat, kemampanan program dan projek, serta melaksanakan transformasi dalam kaedah pemantauan.