fb fb fb fb fb

TPM rasmi bangunan baharu Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak

FOTO BERNAMA

KUCHING, 16 Disember - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini merasmikan Bangunan Baharu Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak (GJPBS), sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh peranan jurutera perunding tempatan dalam pembangunan Sarawak.

Datuk Seri Fadillah berkata, kewujudan bangunan baharu itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan profesionalisme serta keupayaan teknikal jurutera perunding Bumiputera di negeri ini.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap perancangan pembinaan Pusat Kecemerlangan (Excellence Centre) GJPBS di Samarahan pada masa hadapan.

“Inisiatif ini merupakan satu langkah yang baik kerana golongan profesional bukan sahaja perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga peralatan serta kemudahan terkini yang selaras dengan perkembangan semasa industri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi GJPBS, Ir. Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie, berkata pembinaan bangunan baharu tersebut bukan sahaja menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan berfungsi, malah menjadi simbol komitmen berterusan GJPBS dalam meningkatkan tahap profesionalisme ahlinya.

“Selain itu, GJPBS juga telah melaksanakan pelbagai program termasuk kerjasama strategik dan sesi libat urus bersama agensi kerajaan, penganjuran latihan profesional serta aktiviti riadah bagi mengukuhkan jaringan dalam kalangan ahli, seperti pertandingan pickleball,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE