KUALA LUMPUR, 16 Disember - Pelaksanaan Peruntukan Deeming bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bermula 1 Januari 2026 merupakan langkah penting dalam usaha meningkatkan keselamatan pengguna dalam talian.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ima Liana Esa berkata, masyarakat hari ini terutama di Malaysia, kini sangat bergantung kepada platform media sosial dan perkhidmatan internet bukan saja untuk berkomunikasi tetapi juga untuk mendapatkan maklumat.
Oleh itu, katanya, apabila platform-platform media sosial berkaitan mempunyai jumlah pengguna yang sangat besar, tahap kebertanggungjawaban mereka terhadap keselamatan pengguna juga perlu diperkukuh.
Jelasnya, dengan adanya kerangka awal ataupun kerangka kawal sendiri yang lebih jelas, masyarakat berasa lebih selamat apabila menggunakan platform-platform media sosial dalam kehidupan seharian.
"Saya memandang perlaksanaan ini memberi isyarat jelas bahawa platform digital skala besar tidak lagi boleh beroperasi tanpa tanggungjawab yang jelas di bawah undang-undang tempatan.
"Dari sudut masyarakat, ini penting kerana ia memberi jaminan bahawa isu seperti penipuan dalam talian, kandungan berbahaya dan juga penyebaran maklumat palsu ini diambil serius oleh pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi RTM, pada Selasa.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, penekanan terhadap perlindungan kanak-kanak adalah satu langkah tepat memandangkan golongan ini antara pengguna yang paling terdedah dalam ekosistem digital.
Terdahulu, Peruntukan Deeming yang diperkenalkan itu membolehkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih teratur tanpa formaliti pendaftaran yang rumit.
Pelaksanaan Peruntukan Deeming itu akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, berkuat kuasa awal tahun hadapan.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ima Liana Esa