fb fb fb fb fb

Tourism Johor bakal dikorporatkan, usaha perkasa sektor pelancongan negeri

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

KOTA TINGGI, 29 April- Tourism Johor bakal dikorporatkan dalam tempoh enam bulan lagi sebagai inisiatif memperkasa sektor pelancongan, menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata langkah itu juga pernah dibangkitkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pengkorporatan agensi pelancongan juga bukan satu perkara yang baharu kerana ia telah dimulakan oleh negeri lain.

"Kita akan berpeluang untuk mengambil pekerja yang mempunyai latar belakang pelancongan yang kuat supaya mereka boleh membantu meningkatkan lagi pemasaran dan juga produk-produk pelancongan."

"Semestinya itu penting kerana Tourism Johor adalah agensi yang menerajui usul-usul pelancongan di negeri Johor," kata Onn Hafiz kepada pemberita selepas majlis penutup Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor di Bandar Penawar, Desaru, di sini.

Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata usaha itu disambut baik pihaknya kerana dapat memudahkan urusan berkolaborasi dengan pihak swasta, luar negeri serta luar negara. 

"Dengan usaha pengkorporatan ini sebenarnya ia amat baiklah untuk Tourism Johor sendiri. Cara kita bekerja dan pelaksanaan untuk pengurusan pun akan menjadi lebih besar dan lebih baik," kata Sharil kepada pemberita.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM